Sebuah percutian akan lebih sempurna jika kita dapat menimba ilmu baru yang terdapat di tempat tersebut. Di Bukit Fraser ini, anda boleh mendapatkan ilmu berkenaan burung di Bird Interpretive Centre Bukit Fraser. Pusat Interpretasi Burung ini merupakan sebuah galeri bagi spesies burung tempatan serta migrasi yang direkodkan dari Bukit Fraser. Terdapat kira-kira 250 spesies di sini seperti burung enggang, helang, merpati, gagak serta pelbagai spesies endemik yang lain. Di sini, anda dapat mempelajari serta mengetahui bagaimana burung–burung ini berhijrah dari iklim sejuk untuk mendapatkan sumber makanan baru. Semasa musim sejuk, burung–burung migrasi dari negara Jepun, Rusia dan China akan datang ke Fraser Hill untuk mendapatkan makanan serta mencari padang rumput. Bird Interpretive Centre ini terletak bertentangan dengan Hotel Puncak Inn yang berada di tengah–tengah bandar Fraser Hill. Ia dibuka pada hujung minggu bermula jam 10 pagi hingga jam 7 malam. Lebih menarik lagi, jika anda datang tepat pada waktunya, anda berpeluang menyaksikan pertandingan burung peringkat antarabangsa yang dijalankan secara tahunan di sini.