Kelab Golf Diraja Bukit Fraser merupakan antara padang golf tertua di negara ini, terletak tepat di tengah-tengah destinasi peranginan tanah tinggi ini di kawasan pekan. Padang 9 lubang ini mungkin bersaiz kecil, tetapi ia menawarkan beberapa bahagian yang mencabar berserta pemandangan hutan sekeliling yang indah.
Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser mengendalikan padang awam ini. Kaunter pendaftaran untuk bermain golf terletak bersebelahan dengan pintu masuk Kompleks Sukan, bertentangan dengan menara jam. Di sini juga terdapat sebuah kafe kecil dengan pemandangan teres untuk kemudahan menikmati teh dan makanan ringan. Untuk bergerak di sekitar padang, pemain golf perlu berjalan kaki memandangkan perkhidmatan kenderaan bugi tidak disediakan.