PROGRAM PENYERAHAN INISIATIF SECARA ONE-OFF KEPADA PENJAJA DAN PENIAGA KECIL YANG BERLESEN DENGAN MAJLIS DAERAH RAUB TAHUN 2026
13 OKTOBER 2026 | DEWAN JUBLI PERAK, MAJLIS DAERAH RAUB
Alhamdulillah, telah berlangsung Program Penyerahan Inisiatif Secara One-Off Kepada Penjaja dan Peniaga Kecil Yang Berlesen Dengan Majlis Daerah Raub pada petang ini sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu meringankan beban serta menyokong kelangsungan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh YB Dato’ Fadzli bin Mohamad Kamal, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Inisiatif Makmur Pahang (IMP) Tahun 2026, yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya golongan penjaja dan peniaga kecil yang menjadi antara penggerak penting ekonomi setempat.
Walaupun beroperasi dalam skala kecil, sumbangan golongan ini amat besar dalam menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan kepada masyarakat, selain membantu menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan.
Menerusi bantuan secara one-off ini, diharapkan dapat meringankan sebahagian beban kos operasi perniagaan, sekali gus memberi suntikan semangat kepada para penerima untuk terus berusaha, meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Majlis Daerah Raub merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas inisiatif yang dilaksanakan demi manfaat rakyat. Semoga usaha murni ini terus memberi impak positif kepada komuniti perniagaan tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Daerah Raub.
Bersama memakmurkan ekonomi setempat, demi kesejahteraan rakyat!







